Persiapan perkahwinan di Malaysia - Nothing to Somethings

Persiapan perkahwinan di Malaysia

Perkahwinan di Malaysia?

Seperti kebanyakkan majlis perkahwinan di negara lain, Malaysia turut tidak terkecuali dalam mengadakan majlis perkahwinan bagi meraikan pasangan mempelai. Yang membezakan sesuatu majlis biasanya hanyalah disebabkan status, budaya ataupun adat yang diamalkan. 

Jika seseorang daripada golongan bangsawan, majlis mereka mungkin lebih besar dan mewah. Mana tidaknya, mereka mampu untuk membayar jurusolek, perunding perkahwinan ataupun pelamin yang mahal. Bagi mereka yang mengamalkan adat, mungkin majlis mereka disantuni dengan adat yang diamalkan. Contoh majlis berpantun, malam berinai dan sebagainya. Sebagai panduan, berikut saya kongsikan secara ringkas persiapan yang perlu dilakukan sebelum sesuatu majlis perkahwinan dilangsungkan di Malaysia. 

Mini pelamin

1 - Merisik dan bertunang

Merisik dan bertunang merupakan adat yang diamalkan sejak turun temurun. Sekiranya anda berketurunan melayu, biasanya majlis merisik dan bertunang akan dilangsungkan sebelum adanya majlis perkahwinan. 

Majlis merisik biasanya dilakukan untuk tujuan mengenali bakal pengantin dengan lebih serius. Dalam majlis ini, latar belakang pengantin akan diselidiki sama ada untuk mengetahui status pendidikan, pekerjaan, sejarah keluarga dan sebagainya. Ini bagi mengelakkan wujudnya masalah selepas majlis seperti tunangan orang dan sebagainya. 

Manakala, majlis bertunang merupakan majlis yang diadakan bertujuan untuk mewujudkan ikatan perjanjian antara pasangan lelaki dan perempuan. Dalam kata lain, ia merupakan fasa yang lebih serius berbanding merisik. Dalam majlis ini, biasanya hal-hal perkahwinan akan dibincangkan dengan lebih serius termasuk hal berkait hantaran, tarikh perkahwinan, mas kahwin dan sebagainya. Bagi sesetengah kes, majlis merisik dan bertunang diadakan secara serentak.


2 - Dokumen perkahwinan

Dokumen perkahwinan merupakan dokumen terpenting yang perlu disediakan sebelum majlis perkahwinan dapat dilaksanakan. Sekiranya salah satu dokumen ini tidak lengkap, maka akan tertangguhlah majlis perkahwinan anda. Mana tidaknya, borang anda mungkin tidak akan diproses atau diluluskan oleh pejabat agama. Antara dokumen yang perlu disediakan adalah:

i- Sijil kursus perkahwinan

Sijil kursus perkahwinan boleh diperolehi apabila anda menghadiri kursus. Biasanya kursus perkahwinan diadakan selama dua hari. Untuk mengetahui lokasi kursus, anda boleh google ataupun berkunjung ke pejabat agama terdekat. 

ii- Borang permohonan perkahwinan

Sedia maklum, kini borang permohonan perkahwinan perlu di isi secara online. Untuk tujuan ini, anda perlu membuka laman web pejabat agama negeri yang anda tinggal atau menetap. Contoh, sekiranya anda anak mukim negeri Kelantan, maka anda perlu membuka dan mengisi borang permohonan perkahwinan di dalam  website E-Qaryah negeri Kelantan. 

iii- Laporan ujian HIV

Selain sijil kursus perkahwinan, anda juga perlu membuat ujian HIV. Untuk membuat ujian HIV ianya cukup mudah. Anda hanya perlu ke klinik kesihatan kerajaan terdekat dengan membawa borang ujian HIV (yang boleh diperolehi secara online) dan borang permohonan perkahwinan yang siap di isi. Setibanya di klinik atau hospital, maklum kepada staf bertugas tentang tujuan anda iaitu melakukan ujian HIV untuk perkahwinan. 

iv- Salinan IC pasangan, wali & dokumen berkait

Selain daripada mengisi borang permohonan perkahwinan online, menghadiri kursus perkahwinan dan membuat ujian HIV, anda juga perlu sediakan beberapa dokumen berkait lain. Antaranya salinan IC pasangan, salinan IC wali dan lain-lain dokumen berkait (rujuk senarai dokumen dalam borang permohonan perkahwinan. Dokumen ini mungkin berbeza mengikut negeri atau status anda).


3 - Persiapan perkahwinan

Selepas selesainya majlis merisik, bertunang dan mengisi borang permohonan perkahwianan, langkah seterusnya adalah melakukan persiapan perkahwinan. Persiapan ini merangkumi: 

i- Mas kahwin

Mas kahwin adalah hantaran wajib yang perlu disediakan oleh pengantin lelaki untuk pengantin perempuan. Bagi sesetengah negeri (contoh Kelantan), nilai mas kahwinnya tidak ditetapkan. Namum, bagi sesetengah negeri lain, nilai mas kahwin telah ditetapkan (boleh rujuk pejabat agama). Untuk makluman, mas kahwin dan duit hantaran adalah dua perkara yang berbeza. 

ii- Dulang hantaran

Dulang hantaran adalah pemberian yang biasanya berbentuk barangan. Sebagai contoh handbeg, kasut, baju, buah dan sebagainya. Jumlah dulang hantaran juga berbeza-beza bergantung kepada persetujuan keluarga pengantin lelaki dan perempuan. Contoh, 5, 7, 9, 12. Dalam hal ini, jumlah dulang hantaran biasanya bernombor ganjil. 

iii- Pelamin

Tidak lengkap majlis perkahwinan jika majlis tersebut tidak mempunyai pelamin. Mana tidaknya, pelamin merupakan tempat dimana pasangan pengantin duduk untuk bersanding. Namun begitu, saiznya tidaklah ditetapkan. Ianya bergantung sepenuhnya kepada persetujuan dan citarasa pengantin. Ada yang kecil dan ada yang besar. Dalam hal ini, pelamin boleh ditempah dari butik pengantin mahupun direka sendiri. 

iv- Juadah makanan

Juadah makanan merupakan hidangan yang disediakan untuk meraikan kehadiran tetamu yang dijemput. Dalam hal ini, menu juadah yang disediakan bergantung sepenuhnya kepada tuan rumah. Dari segi penyediaan, anda boleh menempah sama ada daripada pihak katering mahupun secara gotong-royong. 

v- Doorgift

Doorgift merupakan buah tangan yang diberi kepada tetamu untuk dibawa pulang selepas menghadiri majlis perkahwinan. Nilai dan saiz doorgift tidak ditetapkan. Sebagai tuan rumah, anda boleh memilih apa sahaja untuk dijadikan doorgift. Contoh surah Yasin, biskut, gula-gula dan sebagainya. 

vi- Jemputan

Jemputan merujuk kepada jumlah tetamu yang bakal dijemput untuk meraikan pasangan pengantin. Biasanya, jemputan dilakukan sekitar satu bulan awal dari tarikh majlis. Ini bagi membolehkan tetamu yang dijemput boleh menyusun jadual mereka seperti memohon cuti sekiranya bekerja dan sebagainya

vii- Baju kahwin

Tidak lengkap majlis perkahwinan jika pengantin tidak memakai persalinan perkahwinan. Mana tidaknya, ia mungkin merupakan majlis sekali seumur hidup yang akan dilangsungkan dan diraikan. Memandangkan ianya merupakan majlis yang bersejarah, sudah pasti memakai persalinan yang cantik menjadi keutamaan bagi memastikan gambar kenangan yang diambil cantik untuk disimpan. 

viii- Lokasi

Pemilihan lokasi biasanya bergantung kepada konsep majlis dan kedudukan rumah pengantin. Mana tidaknya, sekiranya majlis diadakan secara besar-besaran adalah tidak sesuai untuk pengantin mengadakan majlis di rumah sendiri sekiranya pengantin tinggal di apartment. Dalam hal ini, pemilihan dewan atau hotel adalah lebih rasional. Bagi memastikan kelancaran majlis, penentuan lokasi perlu dilakukan seawal mungkin bagi memastikan dewan yang dipilih tersedia pada tarikh majlis. 

Persiapan perkahwinan di Malaysia Persiapan perkahwinan di Malaysia Reviewed by Lah Mohd on 14:24:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.