Jenis pengangkutan awam di Bangkok/ Thailand - Nothing to Somethings

Jenis pengangkutan awam di Bangkok/ Thailand

Kapal Terbang

Suvarnabhumi dan Don Muang International Airport merupakan pintu masuk utama laluan udara ke Thailand. Walaupun begitu, Suvarnabhumi International Airport adalah lebih baru dan selesa memandangkan terdapat banyak kemudahan yang disediakan. Dihubungkan dengan laluan Airport Rail Link (ARL) ia menjadikan Suvarnabhumi International Airport lebih mudah untuk di akses dari pusat bandar Bangkok.

Manakala, untuk menghubungkan daerah utama di Thailand, turut dibina lapangan domestik. Dalam hal ini, kapal terbang sesuai digunakan sekiranya anda perlu bercuti merentasi daerah. Namun begitu, tidak semua lokasi boleh di akses melalui udara.


Train/ Kereta api

Murah, selesa dan menjimatkan masa, ini antara kelebihan menggunakan train semasa bercuti di Thailand. Ini kerana, anda tidak perlu bersesak di dalam kesesakan jalan raya. Meskipun begitu, tidak semua kawasan di bandar Bangkok mempunyai laluan train. Hanya beberapa kawasan tumpuan utama disediakan kemudahan ini.

Untuk menghubungkan pusat tumpuan yang tidak mempunyai jaringan train, anda perlu menggunakan alternatif lain seperti bot, taksi, bas atau tuk-tuk. Dalam hal ini, train di Thailand boleh dibahagikan kepada dua iaitu train bandar dan luar bandar.

Bagi train luar bandar, ia menghubungkan perjalanan jarak jauh seperti ke Chiang Mai, Aranyaprathet dan Padang Besar. Bagi tujuan keselasaan, train ini biasanya dilengkapi tiga kelas iaitu First Class, Second Class dan Third Class.

ICONSIAM, Bangkok

Bot

Menghubungkan terminal dan kawasan tumpuan utama di sepanjang Sungai Choa Phraya, ia menjadikan bot antara pengangkutan air terpenting di bandar Bangkok. Dalam hal ini terdapat 4 jenis bot iaitu, Blue flag, Green flag, Yellow flag dan Orange flag. Setiap jenis bot mengenakan kadar tambang yang berbeza.

Bagi pelancong amat disarankan untuk anda menaiki Blue flag atau tourist bot. Ini kerana, bot ini menyediakan tiket Day Pass yang membolehkan anda turun dan naik bot dengan hanya satu tiket sahaja. Selain itu, bot Blue flag lebih selesa memandangkan ianya memberi fokus perkhidmatan kepada pelancong.


Bas

Murah dan selesa merupakan kelebihan sekiranya anda menggunakan bas. Meskipun begitu, sekiranya anda menaikinya semasa waktu puncak, anda mungkin perlu berdiri. Ini kerana, dengan ruang dan jumlah kerusi yang terhad dan penumpang yang ramai, adalah sukar untuk anda memperolehi tempat duduk. Untuk menampung bilangan penumpang yang ramai, jadual perlepasan bas adalah kerap. Dalam hal ini, perkhidmatan bas boleh dikatakan agak efisen memandangkan hampir keseluruhan bandar Bangkok boleh di akses dengan bas dan jadual perlepasan bas yang kerap. 


Taksi

Dilengkapi penghawa dingin dan kerusi empuk, ia menjadikan taksi antara pengangkutan awam paling selesa untuk digunakan semasa anda bercuti di kota Bangkok atau kawasan lain di sekitar Thailand. Dengan menggunakan meter, risiko anda untuk menjadi mangsa penipuan adalah rendah. Meskipun begitu, sekiranya pemandu tidak mahu menggunakan meter dan ingin mengenakan kadar tetap, elakkan dari menaikinya. Ini kerana, risiko untuk anda ditipu adalah tinggi.

Memandangkan taksi dilengkapi penghawa dingin dan kerusi empuk, kadar tambangnya juga agak tinggi. Semasa waktu puncak elakkan daripada menaiki taksi. Ini kerana, risiko anda untuk terkandas di dalam kesesakan lalu lintas agak tinggi terutamanya di bandar utama Bangkok.


Tuk-tuk

Tuk-tuk merupakan kenderaan berupa motosikal beroda tiga. Tuk-tuk biasanya menjalankan operasi tanpa meter. Kadar tambang ditentukan berdasarkan kepada perbincangan atau rundingan sebelum anda menaikinya. Tuk-tuk ini boleh ditemui disemua tempat sama ada bandar atau luar bandar. Meskipun begitu, sekiranya anda bercuti berseorangan elakkan daripada menaiki tuk-tuk di malam hari. Ini kerana risiko untuk anda menjadi mangsa penipuan adalah tinggi. 
Jenis pengangkutan awam di Bangkok/ Thailand Jenis pengangkutan awam di Bangkok/ Thailand Reviewed by Lah Mohd on 13:36:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.