Persiapan sebelum ke Australia - Nothing to Somethings

Persiapan sebelum ke Australia

Bercuti ke Australia?

Seperti bercuti di kebanyakkan negara lain, untuk ke Australia anda juga perlu lakukan sedikit persiapan. Bagi memudahkan anda, berikut saya senaraikan antara persiapan yang harus anda lakukan sebelum berlepas ke Australia.

Woolgoolga Beach

Persiapan sebelum ke Australia

1- Musim

Memandangkan Australia berada di himisfera Selatan, perubahan musim adalah berbeza daripada negara yang berada di himisfera Utara seperti Europe dan Jepun. Bagi saya, setiap musim mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri. Namun, jika ditanya pendapat peribadi, saya lebih suka bercuti pada musim luruh dan bunga sahaja. 

Secara umumnya, Australia mengalami perubahan musim pada:
i) Jun hingga Ogos - Musim Sejuk
ii) September hingga November - Musim Bunga
iii) Disember hingga Februari - Musim Panas
iv) Mac hingga Mei - Musim Luruh


2- Visa

Sebelum membeli tiket pastikan anda telah memiliki visa. Untuk memohon visa, anda boleh lakukannya sendiri atau melalui travel agent. Bagi saya, permohonan visa melalui travel agent adalah lebih mudah. Namun, sekiranya anda ingin lakukannya sendiri anda boleh klik pautan ini: Visa Australia. Dalam hal ini, visa yang dipohon sah bagi tempoh satu tahun. 

Mengikut pengalaman, saya telah memohon visa melalui travel agent World travel Ambassador dengan harga RM30. Selain itu, ada yang mencadangkan untuk memohon melalui Muslim Travel Bug dengan harga RM20. 


3- Tiket kapal terbang

Selepas permohonan visa diluluskan, anda bolehlah membeli tiket. Sekiranya inginkan harga yang murah, pastikan anda membelinya awal. 


4- Itinerary & dokumen perjalanan

Sedia maklum, Australia antara negara yang mempunyai peraturan imigresen yang ketat. Anda boleh diarahkan pulang sebaik sahaja anda jejakkan kaki ke Australia. Namun, untuk mengelakkan perkara ini terjadi, beberapa dokumen perjalanan haruslah disediakan dengan lengkap. Dokumen ini termasukkan tiket pulang, itinerary dan penginapan sepanjang bercuti di Australia. Dalam hal ini, disarankan untuk anda meletakkan semua dokumen ini dalam satu file yang senang diambil. 

Sekiranya anda menjadi insan terpilih, anda akan ditahan untuk disoal siasat. Pastikan anda menjawabnya dengan yakin dan sertakan bukti yang ada di tangan anda (itinerary, tiket, hotel). Mengikut pengalaman peribadi, soalan yang ditanya adalah berapa lama bercuti, berapa orang, tinggal dimana, nak ke mana dan bila balik. 


5- Pengangkutan

Bergantung kepada jenis percutian, anda mempunyai pilihan untuk menentukan jenis kenderaan yang akan anda gunakan. Anda boleh menyewa kenderaan seperti kereta atau motorhome atau bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan awam disana. Sekiranya anda ingin memandu, anda boleh menggunakan lesen memandu Malaysia (i.e. berupa IC).


6- Makanan

Sedia maklum, Australian antara negara yang sangat mementingkan kawalan biosekuriti. Bagi tujuan ini, semua makanan dan barangan yang ingin dibawa masuk ke Australia harus diistiharkan. Bagi sesetengah makanan, ianya dilarang sama sekali untuk dibawa masuk. Sebagai contoh, makanan berasaskan tenusu, daging, telur, ikan, ayam, buah dan sayuran. 

Sekiranya anda ingin membawa makanan, anda harus membawa makanan siap proses yang dipek kemas dari kilang. Bagi memudahkan pemeriksaan, disarankan anda untuk meletakkan semua makanan ini berasingan daripada beg pakaian. Selain itu, sediakan senarai semua barang yang dibawa bersama kuantitinya. 


7- Ubat-ubatan

Bagi anda yang mempunyai masalah kesihatan dan perlu membawa ubat bersama, anda harus istiharkan semua ubat yang dibawa semasa ketibaan. Bagi memudahkan anda, disarankan untuk anda dapatkan surat bertulis daripada doktor tentang ubat yang dibawa. 

Manakala, bagi ketegori ubat seperti penadol, selsema ianya tidak wajib untuk di istiharkan. Namun, sekiranya anda tidak yakin anda boleh istiharkan sahaja di dalam borang yang disediakan. 
Persiapan sebelum ke Australia Persiapan sebelum ke Australia Reviewed by Lah Mohd on 21:47:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.