Pengalaman ke Luang Prabang - Nothing to Somethings

Pengalaman ke Luang Prabang

Luang Prabang, Apa yang menarik?

Bagi yang belum jejakkan kaki ke Luang Prabang, mungkin tiada apa yang difikirkan menarik.  Perkara sama terjadi kepada saya. Namun, selepas jejakkan kaki ke Luang Prabang, bandar kecil ini seolah-olah menyimpan keunikan dan daya tarikan yang tersendiri. Untuk makluman, penerbangan dari Kuala Lumpur ke Luang Prabang hanya mengambil masa 3 jam sahaja. Masa di Luang Prabang (Laos) pula lewat satu jam dari Malaysia.

Note:
Bagi pemilik pasport Malaysia visa tidak diperlukan bagi tempoh lawatan tidak melebihi 30 hari

Kuang Si waterfall
Kuang Si waterfall
Ketibaan saya di lapangan terbang Luang Prabang disambut dengan hamparan hutan menghijau yang belum terusik. Di kiri dan kanan tingkap pesawat anda dapat melihat gunung ganang menghijau yang mungkin berbeza dengan lapangan terbang lain yang dikelilingi bangunan tinggi.

Mount Phousi
Mount Phousi
Dari airport ke bandar Luang Prabang ia mengambil masa sekitar 10 minit sahaja. Untuk ke bandar Luang Prabang anda boleh gunakan taksi. Untuk seorang harga yang dikenakan adalah KIP50,000. Harga ini akan berubah sekiranya anda menaiki taksi secara berkumpulan. Mengikut pengalaman harga taksi untuk 6 orang adalah USD12 atau KIP100,000. Untuk berjimat anda boleh sahaja menggunakan tuk-tuk. Dalam hal ini anda perlu bijak melakukan rundingan memandangkan tuk-tuk tidak mempunyai kaunter khusus untuk membeli tiket.

Luang Prabang
Luang Prabang
Sama seperti keterujaan saya semasa tiba di lapangan terbang Luang Prabang, bandar kecil Luang Prabang turut menawarkan satu pemandangan yang menarik. Keadaannya yang bersih dan seni bina bangunan yang menarik semestinya tidak mengecewakan pengunjung yang tiba.

Sungai Mekong
River cruise Sungai Mekong
Bagi anda yang beragama islam, anda tidak perlu risau tentang makanan halal. Ini kerana, terdapat tiga restoran/kedai yang menawarkan makanan halal di Luang Prabang iaitu:
1- Wat That Guesthouse
2- Chennai restaurant
3- Nisha restaurant

Untuk makluman, Wat That guesthouse restaurant dimiliki oleh rakyat Malaysia yang berasal dari Pasir Mas Kelantan. Jadi sekiranya anda ingikan masakan Malaysia, anda boleh sahaja singgah di restoran beliau. Secara purata kos sekali makan Luang Prabang sekitar RM15 sahaja. Selain itu anda juga boleh menginap di guesthouse yang di usahakan oleh keluarga isterinya yang berada bersebelahan dengan restoran.

Wat That restaurant menu
Wat That restaurant menu
Dari segi pengangkutan ke tempat menarik, ianya bergantung kepada budget anda. Sekiranya inginkan keselesaan, anda boleh sahaja menempah minivan. Tempahan ini boleh dilakukan melalui hotel ataupun melalui egen pelancongan yang berada di sekitar bandar Luang Prabang. Mengikut pemerhatian saya, harga yang ditawarkan hampir sama sahaja. Sebagai contoh, untuk ke Kuang Si waterfall harga yang ditawarkan adalah sekitar KIP50,000 seorang dengan menggunakan minivan.

Night market Luang Prabang
Night market Luang Prabang
Bagi anda ingin berjimat, anda boleh menyewa tuk-tuk. Dalam hal ini, anda perlu bijak untuk tawar-menawar memandangkan harga yang ditawarkan berbeza-beza diantara pemilik tuk-tuk. Sekiranya anda tidak mahu menyewa minivan atau tuk-tuk anda boleh sahaja menikmati keindahan bandar Luang Prabang.

Royal Palace Luang Prabang
Royal Palace Luang Prabang
Bagi memudahkan anda, di sini saya senaraikan tempat dan aktiviti menarik yang boleh anda lakukan di Luang Prabang:
1- Kuang Si waterfall 
2. National Museum/Royal museum
3. Mount Phousi (perlu mendaki sekitar 300 meter)
4. Night market
5. Morning market
6. Dara Market
7. Cruise di Sungai Mekong sambil menikmati sunset
8. Morning alms (untuk melihatnya anda perlu bangun sekitar 5.30am)
9. Tad Sea waterfall (sesuai dilawat semasa atau selepas musim tengkujuh. Airnya kering di musim panas)

Pakej aktiviti di Luang Prabang
Bagi anda yang ingin membeli cenderahati saya sarankan untuk anda membelinya di night market. Sebelum membeli pastikan anda melakukan tawar-menawar sehingga 50-70% daripada nilai barang.

Selamat bercuti ...

Pengalaman ke Luang Prabang Pengalaman ke Luang Prabang Reviewed by Lah Mohd on 23:05:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.