Cara saya ke Gunung Angsi - Nothing to Somethings

Cara saya ke Gunung Angsi

Trip mendaki ke-4 di bulan April 2017.

Sekiranya sebelum ini saya kongsikan pengalaman ke Gunung Baling yang berketinggian 546 meter dari aras laut, kali ini saya kongsikan pengalaman sehari mendaki Gunung Angsi.

Gunung Angsi
Gunung Angsi

Untuk makluman korang, Gunung Angsi terletak di Negeri Sembilan dan memiliki ketinggian 825 meter dari aras laut. Untuk kesana korang boleh setkan waze ke "Ulu Bendul-Angsi trailhead" atau "Bukit Putus (Gunung Angsi Trailhead)". Ini kenara, untuk ke puncak korang boleh memilih sama ada untuk menggunakan trek di Ulu Bendul atau trek di Bukit Putus.

Gunung Angsi
Gunung Angsi

Untuk mendaki korang perlu memohon permit mendaki dengan bayaran RM5 seorang. Permit ini korang boleh dapatkan di pejabat hutan di Ulu Bendul atau pejabat hutan di Bukit Putus bergantung kepada lokasi korang ingin memulakan dakian. Tempahan awal tidak diperlukan kecuali korang ingin mendaki dalam kumpulan yang besar. Sebagai tambahan, penggunaan pemandu arah adalah tidak diwajibkan. Oleh itu, selepas mendapatkan permit korang boleh terus memulakan dakian. 

Pejabat hutan di Ulu Bendul
Pejabat hutan di Ulu Bendul 

Mengikut maklumat yang saya perolehi, dakian ke puncak hanya dibenarkan untuk dilakukan sebelum jam 11.30 sahaja. Selepas daripada masa ini kebenaran akan diberikan berdasarkan budi bicara pegawai di pejabat hutan.

Pejabat hutan di Bukit Putus
Pejabat hutan di Bukit Putus (note: pejabat lama)

Mengikut pengalaman saya, trek di Ulu Bendul akan ditutup sekiranya berlaku hujan lebat di malam harinya. Ini kerana, treknya akan menjadi licin. Sebagai alternatif ke puncak korang akan di arahkan oleh pegawai pejabat hutan untuk mendaki dengan menggunakan trek di Bukit Putus. Kebenaran mendaki akan diberi bergantung kepada keadaan trek tersebut. Jika ianya tidak selamat untuk digunakan ia mungkin akan ditutup sepenuhnya. 

Trek ke Gunung Angsi
Trek ke Gunung Angsi di Bukit Putus

Untuk makluman korang, trek mendaki di Bukit Putus adalah sederhana sukar. Meskipun begitu, pada peringkat awal dakian korang perlu menggunakan tenaga yang banyak memandangkan treknya agak curam. Sebagai tambahan, treknya cukup mudah kerana tiada persimpangan trek yang mengelirukan.

Trek ke Gunung Angsi
Trek ke Gunung Angsi di Bukit Putus

Untuk sampai ke puncak masa sekitar 2 jam diperlukan. Namun, sekiranya korang mempunyai stamina yang lebih baik mungkin korang boleh sampai ke puncak dengan lebih cepat. 

Trek ke Gunung Angsi
Trek ke Gunung Angsi di Bukit Putus

Untuk makluman korang, saiz ruang di puncak Gunung Angsi adalah kecil dan terhad. Dalam hal ini hanya beberapa posisi sahaja yang sesuai untuk bergambar memandangkan sesetengah posisi ditutupi dengan pepohon tinggi.
Cara saya ke Gunung Angsi Cara saya ke Gunung Angsi Reviewed by Lah Mohd on 16:57:00 Rating: 5

No comments:

Powered by Blogger.